You Follow Me, I Follow You

Monday, October 31, 2011

Gejala Murtad Menyerang Umat Islam di Malaysia


Kalimah kesyukuran diucapkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah nikmat yang dikurniakan-Nya serta dengan taufik dan hidayah-Nya, kita masih mengecapi kemanisan iman sehingga ke hari ini. Nikmat Iman dan Islam inilah yang telah dianugerahkan oleh Yang Maha Esa bersama kemegahan yang dijanjikan oleh Allah subhanahu wa’ taala.

Sejarah telah mencatatkan bahawa kemegahan dan keagungan Islam mula dicarikkan sedikit demi sedikit bersama runtuhnya Daulah Islamiah Uthmaniyyah pada tahun 1942. Daulah yang diamanahkan untuk menjaga hak asasi manusia telah hancur lebur. Malah hari ini kita menyaksikan akidah yang menjadi benteng kekuatan umat Islam juga mula diruntuhkan setelah 74 tahun runtuhnya ad-Daulah al-Islamiah.

Mutakhir ini gejala murtad mula menyerang orang-orang Islam di Malaysia. Apa yang menyedihkan ialah kebanyakan yang terlibat ialah anak-anak yang kurang berpendidikan agama, walaupun tidak dinafikan sesetengah daripada mereka telah dibekalkan secangkiran ilmu agama, tetapi ia terlalu nipis untuk menjadi benteng serangan murtad. Setakat pemerhatian saya, antara agama yang menjadi pilihan untuk dianuti oleh orang Melayu (murtad kepada agama lain) ialah Kristian, Hindu dan Buddha, di mana agama Kristian yang merupakan agama paling aktif berbanding dengan agama lain kerana ia melibatkan gerakan tersusun oleh misionaris antarabangsa, manakala mereka yang murtad kepada agama Hindu dan Buddha hanya melalui proses perkahwinan dan percintaan secara rambang. Gerakan Kristianisasi di Malaysia inilah yang merupakan fokus perbincangan artikel ini, Insya’ Allah.

Sejarah telah menujukkan proses Kristianisasi ini telah mula bertapak di Tanah Melayu semenjak penjajahan Portugis 1511 Masehi lagi. Sekiranya kita melihat Kota Melaka kita akan dapati di sana terdapat banyak gereja-gereja yang dicat warna merah. Itulah tempat batu asas agama Kristian di Malaysia. Di dalam Kota Melaka terdapat satu kubur mendiang ketua paderi Melaka berdiri megah dalam A Famosa. Walau bagaimanapun proses Kristianisasi di Tanah Melayu kurang berjaya sehinggalah Malaya mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957 Masehi.

Kemerdekaan Malaya diharapkan dapat menghapuskan saki-baki gerakan tersebut. Tetapi peristiwa Natrah menggugat sentimen orang Melayu Islam. Sekali lagi maruah umat Islam tercabar. Peristiwa yang menjadi catatan sejarah penting umat Islam itu amat melukakan hati umat Islam. Tetapi yang menyedihkan apabila kerajaan Malaya ketika itu tidak menjadikannya iktibar untuk memelihara kesucian akidah umat Islam Malaya. Hari ini kesan tersebut telah mula dirasai, generasi era kemerdekaan tidak dibekalkan pendinding iman yang kukuh, akidah Islam di tahap yang menyedihkan, budaya barat menjadi ikutan sesetengah golongan muda. Ada beberapa orang Melayu yang mengaku dirinya Islam tetapi pulang awal pagi dalam keadaan mabuk. Kesannya, akidah umat Islam mula goyah.

Peristiwa Jamaluddin @ Jeshua Othman (1987) merupakan titik tolak kepada dakwah terang-terangan Kristian setelah sekian lama berselindung di sebalik dinding gereja. Dalam kes tersebut Jeshua telah mendakwa Menteri Dalam Negeri kerana telah menyumbatnya dalam ISA atas alasan menyebarkan dakyah Kristian. Sehingga tarikh dia diberkas, ramai anak Melayu yang telah berjaya dikristiankannya. Dalam dakwaan tersebut beliau menggunakan alasan undang-undang kebebasan beragama untuk melepaskan diri dari lokap ISA. Pemimpin Kristian Melayu tersebut akhirnya dibebaskan.Pendakwah Kristian dibebebaskan atas nama kebebasan beragama setelah ramai anak Melayu yang gugur Islamnya? Itukah keadilan Malaysia, tanah air kita yang tercinta setelah kemerdekaan, itukah nilai kemerdekaan orang Melayu Islam?

Belum habis dengan masalah Jeshua Othman, umat Islam di Malaysia dikejutkan pula dengan kes murtad Nor Aishah Bokhari, yang berkahwin lari dengan seorang pemuda bukan Islam. Berapa ramaikah wanita Islam yang murtad sebelum kes Nor Aishah Bokhari terpampang di muka depan akhabar tempatan? Hari ini orang Melayu tidak lagi boleh berdiri megah menyatakan Melayu Islam. Sekarang bangsa Melayu tidak lagi agung di sisi Allah melainkan mereka yang beriktikad di jiwanya dengan dua kalimah syahadat. Kalau dulu seratus peratus Melayu adalah Islam, tetapi sekarang malulah rasanya kalau hendak bercakap begitu lagi.

Di sini saya ingin mengajak anda merenung sepotong hadis Nabi s.a.w. Sabdanya:

“Akan terungkai ikatan Islam satu persatu, dimulai dengan gugurnya hukum perundangan Islam dan diakhiri dengan keguguran sembahyang.”

Setelah 74 tahun hukum perundangan Islam diporak-perandakan oleh tangan-tangan kafir, sekarang kita dapat melihat bilangan yang tidak sedikit umat Islam yang meninggalkan sembahyang, dan inilah antara faktor yang melebarkan lagi gejala murtad di Malaysia. Ulama Islam ada mengatakan bahawa perbezaan antara seorang Muslim dan seorangkafir dari segi amalanya ialah sembahyang. Jadi apakah bezanya di antara Muslim yang engkar sembahyang dengan yang kafir? Inilah perkara pertama yang umat Islam perlu fikirkan sebelum kita membicarakan cara-cara menyekat gejala murtad.

Sekiranya kita mengkaji Fiqh Perundangan Islam, kita akan dapati terdapat cara-cara khusus yang telah digariskan oleh Islam untuk menyekat gejala syirik dan murtad ini daripada melanda umat Islam. Tetapi sayangnya sistem perundangan Islam diketepikan sewenang-wenangnya oleh pemerintah sekarang.Sinar nur ataupun cahaya perundangan Islam dipadamkan terus daripada terus bersinar di mahkamah syariah. Orang-orang kafir menggunakan kesempatan daripada kelemahan perundangan mahkamah sivil untuk mempersenda dan memporak-perandakan umat Islam dan agama yang dianuti oleh mereka. Firman Allah:

“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka tetapi Allah tetap menyempurnakan nur-Nya walaupun dibenci oleh orang-orang kafir.” (Surah Ash Saf: 8)

Kita sebagai seorang Mulim sejati yakin bahawa suatu hari nanti nur Islam akan bersinar kembali di Malaysia. Oleh itu sesiapa yang mengaku dirinya Muslim wajib berjuang menegakkan kalimah Allah di bumi tercinta ini. Hanya dengan pengakuan Daulah Islamaiah dan sistem perundangan Islam sahaja yang akan dapat mengembalikan keagungan Melayu di Malaysia.

Ibu bapa yang berperanan sebagai pendidik pertama perlu membekalkan ilmu agama kepada anak-anak. Sekarang dengan kewujudan sekolah-sekolah agama sekurang-kurang dapat membantu merebaknya gejala murtad. Guru-guru agama di sekolah mempunyai tanggungjawab yang berat dalam menjelaskan keburukan murtad. Tetapi perlu diingatkan gerakan misionaris sekarang mula memasuki sekolah-sekolah agama. Oleh itu pihak sekolah perlu mengawasi pelajar-pelajar supaya berhati-hati dengan dakyah mereka. Menceritakan tentang murtad dari segi kaca mata Islam adalah salah satu cara awal menyekat gejala murtad dari meresap di sekolah-sekolah.

Apa yang penting dan perlu diingatkan di sini adalah setiap Muslim tanpa mengira warna kulit adalah bertanggungjawab memikul amanah amar makruf dan nahi munkar. Firman Allah Taala:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu membela (agama) Allah nescaya Allah akan membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (Surah Muhammad:7)

Memetik kata-kata peguam Cyrus Das yang mewakili Lina Joy dan juga mantan presiden Majlis Peguam Malaysia  mengatakan "sudah sampai masanya orang Islam di Malaysia disedarkan bahawa Malaysia bukanlah negara Islam tetapi adalah negara sekular. Dan undang-undang  Islam adalah berada dibawah tapak kaki undang-undang negara (perlembagaan persekutuan)".

Kita tak boleh buat apa-apa sebab Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan menyatakan mana-mana warganegara Malaysia yang telah cukup umur (18 tahun) berhak mutlak menukar agamanya. Itulah perlembagaan kita yang memerdekakan orang Melayu kita tahun 1957. Perlembagaan itulah juga yang menjerut kita sendiri. Adakah anak cucu kita akan selamat dengan perlembagaan itu? Bila berlaku pertembungan antara hukum syara’ dengan undang-undang sivil, undang-undang syara’ akan terbatal. Maksud agama rasmi kita Islam adalah acara-acara rasmi hendaklah dibuat mengikut cara Islam. Contohnya perlantikan sultan, rasmi parlimen dan lain-lain. Tak lebih dari itu. Bab kehidupan, politik, ekonomi semua tak termasuk.

Artikel 4 pula menyatakan: “Mana-mana undang-undang yang bertentangan yang bercanggah dengan perlembagaan ini adalah batal dan tidak sah.” Ini termasuklah hukum syara’!

Dalam satu hadis yang berbentuk futuristik (masa depan), Rasulullah SAW berpesan “Bersegeralah kamu melakukan amalan soleh kerana akan datang kepada umatku di suatu masa, satu fitnah yang begitu besar yang datangnya seperti satu kepingan hitam di malam gelap gelita tak nampak”. Sahabat bertanya “Apakah fitnah besar itu ya Rasullullah?” “Fitnah itu adalah kamu akan lihat umatku di hari itu, di waktu itu,pada masa itu, pagi hari Islam, petang kafir. Petang Islam, pagi kafir balik.” Sahabat bertanya lagi. “Mengapa begitu ya Rasullullah?”, Rasullullah SAW menjawab, “Sebab dia jual agamanya dengan nilai dunia”.

Imam Ghazali pernah berkata dalam perkara ini, “Akan datang fitnah murtad ini dalam keadaan seperti semut hitam di atas batu hitam di malam gelap.” Mana nampak? Kecuali kalau jiwa kita tengok satu perkara dengan cahaya keimanan.

Bab Kristian, lebih terancang, lebih terperinci lagi. Semenjak kalah dalam perang salib terakhir, iaitu dalam pemerintahan King entah apa nama ke 6 yang terakhir. Sebelum dia mati, dia telah berwasiat dan wasiatnya ada ditulis dengan emas di London. Dia berkata: “Kepada semua pemimpim-pemimpin Kristian, kita hari ini telah melakukan kesilapan besar, kita berperang dengan tentera Islam dengan pedang, bukan berperang dengan akidah yang ada pada mereka. Sebab tu Islam menang walaupun 30 ribu tentera mereka dengan 300 ribu tentera kita, mereka tetap menang sebab mereka (orang Islam) berperang kerana nak mati. Kita perang untuk hidup. Oleh itu, hendaklah kita tukar strategi. Melancarkan peperangan ideologi, fahaman dan budaya ke atas orang Islam.”

Wasiatnya Berjaya dilaksanakan setelah King tu mati, 1492. kerajaan Islam Andalusia yang paling agung pada masa itu tumbang di tangan Kristian. 1511 kerajaan Islam Melaka tumbang, tak lama lepas tu, tumbang kerajaan Islam Pattani. Tak lama selepas tu, tumbang kerajaan Islam Kedah . Tak lama lepas tu, tumbang kerajaan Islam Mindanao. Lepas tu kerajaan Islam Acheh. Semuanya satu demi satu.

Macamana benda ni boleh terjadi?

Sebab gerakan Kristian berdasarkan kepada 3G. GOSPEL, GOAL, GLORY. Pertama kitab dia, kedua kekayaan kita, ketiga menang terhadap Islam. Kalau kita tengok sejarah, Alfonso De Albuqueque bukan datang ke Tanah Melayu bawa tukang masak sebab nak rempah kari kita. Dia bukan makan kari, di a datang bawa mubaligh Kristian Francis Xavier (kalau saya tak silap eja), sebab nak sebarkan ajaran Kristian. Bagaimana cara dia sebarkan Kristian nih? Orang kita panggil, gerakan halus.Dia panggil semua mubaligh Kristian yang nak datang ke Asia ni. Dia guna kaedah “garam dan ragi”. Garam sebagai perasa, ragi untuk penapaian. Contohnya ubi kayu. Waktu siang asalnya ubi kayu kita letak ragi, esoknya masih lagi bentuk ubi kayu tapi sebenarnya tapai. Maksudnya, dia kekalkan orang Melayu dengan identiti Islam. Hakikatnya kehidupan kita bukan cara Islam lagi . Cara inilah yang Rasulullah SAW kata macam kepingan hitam di malam gelita. Inilah yang Imam Ghazali kata macam semut hitam atas batu hitam di malam gelita tu.

Akan datang suatu masa nanti, orang Melayu sendiri tanpa dipaksa-paksa akan buat revolusi untuk menjadi Kristian. Cara dakwah kebajikan hari ni sapa tak kenal Kelab Rotary, Kelab Lion, Bulan Sabit Merah, Saint John’s Ambulans, sapa tak kenal Palang Merah. Mereka masuk dengan cara menghidupkan sekularisme. Sekularisma adalah satu cara mengasingkan agama daripada kehidupan. Itulah kita hari ni mengasingkan Islam daripada kehidupan dunia. Cara lain adalah dengan menghidupkan maksiat. Kita kena ambil tindakan samada dengan tangan, dengan mulut, atau paling lemah sekali, dengan hati.

Semoga dengan membaca artikel ini, segala bukti mengenai gerakan Kristianisasi ini jelas dan mudah difahami oleh para pembaca dan dengan jalan ini, gejala murtad dapat disekat sebelum tertegaknya ad-Daulah al-Islamiah.

Sekian, wallahu a’lam.