You Follow Me, I Follow You

Saturday, November 26, 2011

Salam Maal Hijrah 1433

Fakta Hijrah Rasulullah S.A.W: Kedatangan tahun baru Hijrah wajar dinamakan kembali dengan nama 'Awal Muharram'. Penggunaan nama Maal Hijrah sangat mengelirukan, bukan sahaja terhadap orang awam malah ustaz-ustaz yang tidak belajar sirah turut terkeliru! 

Dengan istilah Maal Hijrah ramai yang beranggapan malah meyakini bahawa Peristiwa Hijrah Rasulullah S.A.W berlaku pada 1 Muharram, sedang dalam pengajian hadits dan sirah mencatatkan tarikh yang berbeza sama sekali. Ahli-ahli sejarah meriwayatkan bahawa baginda S.A.W keluar dari rumah baginda menuju rumah Abu Bakar untuk berhijrah adalah pada bulan Safar. Al-Syeikh Al-Mubarakfuri dalam kitab sirahnya yang terkenal Al-Rahiq al-Makhtum mencatatkan bahawa pada 27 Safar bersamaan dengan 13 September tahun 622M. Kemudian di Gua Tsur.

Pada hari pertama Rabiul Awwal bersamaan 16 September barulah baginda bergerak ke Madinah atau yang dikenali dengan nama Yatsrib ketika itu. Pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal bersamaan dengan 23 September barulah baginda sampai ke Quba. Baginda berada selama empat hari di Quba dan mengasaskan Masjid Quba. Kemudian pada hari Jumaat minggu tersebut barulah baginda memasuki Madinah.

Dengan ini, maka sangkaan sesetengah pihak bahawa Nabi S.A.W berhijrah pada bulan Muharram adalah tidak tepat. Sebaliknya bulan Muharram adalah bulan pertama dalam perkiraan Arab. Maka tahun hijrah dikira bukan kerana Nabi S.A.W berhijrah pada Muharram, tetapi kerana tahun berkenaan berlakunya peristiwa hijrah. Maka tahun peristiwa itu berlaku dikira sebagai tahun pertama. Adapun bulan Muharram sememangnya bulan pertama bagi tahun Arab seperti Januari bagi tahun masihi.

Doa akhir tahun:
 
Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya.

Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.

Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah.

Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.
 
Doa awal tahun:
 
Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami.

Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.

STPM 2011 (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia)


 

Thursday, November 3, 2011

Perjuangan menuntut hak mahasiswa : Student Power!

Era pascamerdeka menyaksikan kemodenan teknologi dan pertumbuhan ekonomi yang pesat. Pertumbuhan institusi pendidikan dan ianya diikuti dengan perkembangan gerakan mahasiswa yang sememangnya bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Perbicaraan mengenai gerakan mahasiswa ini seringkali memenuhi ruang diskusi kini dalam kalangan masyararkat sama ada perbicaraan mengenai kajian secara formal sehinggalah perbualan di kedai kopi. Perbahasan agenda mahasiswa ini telahpun memenuhi ruang entiti masyarakat kerana mahasiswa bukanlah golongan yang terkebelakang dalam proses sosial dan demokrasi. Golongan mahasiswa ini dianggap sebagai entiti yang ‘murni’ kerana peranan mahasiswa dan gerakannya terlalu banyak dalam proses pendemokrasi di negara luar. 

Siapa dia Mahasiswa? 

Mahasiswa seperti yang diketahui umum adalah panggilan orang yang sedang menjalani pendidikan tinggi di universiti atau perguruan tinggi. Mahasiswa Universiti tempatan kita rata-rata berusia 18 hingga 25 tahun. Mereka termasuk dalam kategori belia menurut Akta Pertubuhan Belia 2007 yang menyatakan bahawa Belia merupakan mereka yang berumur diantara 15 hingga 40  tahun. Di negara luar, mereka dilayan seperti orang dewasa yang lain. Akan tetapi belia akan kehilangan beberapa hak yang dinikmati oleh belia yang lain secara automatik sebaik sahaja mendaftakan diri sebagai mahasiswa. Antara hak-hak tersebut ialah melibatkan diri dalam parti politik.
Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 yang berbunyi: 15(5) Tiada seorang pun pelajar Universiti dan Tiada pertubuhan , badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, dibawah atau mengikut Perlembagaannya, boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan atau bangkangan terhadap – Mana-mana parti politik sama ada di dalam atau di luar Malaysia.
Cabaran Mahasiswa Kini 

Pada masa ini, ramai orang menganggap golongan mahasiswa tidak mempunyai kepedulian politik dan isu semasa. Berbanding dengan mahasiswa zaman 1960-an dan 1970-an, memang mahasiswa pada hari ini nampak lebih akur dengan pihak berkuasa. Golongan mahasiswa kini turut menghadapi pelbagai cabaran yang rumit. Hal ini termasuklah sistem pendidikan kita yang caca merba; ekonomi upah rendah; polarisasi kaum; penolakan terhadap konsep berkhidmat untuk masyarakat; dan kekurangan pemimpin muda yang berwibawa. Kemelut melanda demokrasi kita sejak 1980-an di samping cengkaman pemerintahan autoritarian telah menyebabkan ramai anak muda negara kita sinis, malah kecewa dengan politik. Berikutan kurangnya saluran sesuai untuk mereka menyuarakan pandangan mereka, menerusi undang-undang seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti serta akta 174 melemahkan lagi golongan yang sepatutnya menjadi penggerak politik semula jadi. Itulah sebabnya mengapa sikap tidak kisah bermaharajalela.

Lebih menyedihkan lagi ialah kekurangan pemimpin muda yang berwibawa dan kesedaran politik dalam kalangan generasi muda Malaysia. Masalah kepimpinan muda ini berpunca daripada kempimpinan pemuda parti politik yang sering menjadi alat bagi wang dan kuasa, bukannya platform aktivivisme tulen. Kurangnya kesedaran politik pula menghalang generasi muda menjadi suara dan kuasa dalam politik negara. Dengan cabaran-cabaran ini, kita boleh memahami mengapa ramai yang pesimis terhadap masa hadapan golongan mahasiswa kita. Tetapi, janganlah perkecilkan potensi mereka untuk membuat perubahan. Mari kita ungkap, mari kita singkap kembali sejarah perubahan yang telah dibawakan oleh mahasiswa. 

Mahasiswa Dalam Sejarah 

Dalam sejarah, mahasiswa dari pelbagai negara mempunyai peranan penting dalam sejarah sesuatu negara. Fakta kes pertama, mahasiswa di negara kita dalam menyertai demonstrasi Baling pada tahun 1974 dimana melibatkan ribuan mahasiswa berhimpun bagi menyertai demonstarasi tersebut. Pada Ketika itu PKPIM yang menaungi gerakan pelajar Islam telah menyatakan pandangan dan bantahan ke atas apa yang berlaku. Dalam sejarah, gerakan inilah merupakan gerakan terbesar dan perhimpunan ini dinamakan sebagai 'Perhimpunan Mahasiswa Raksasa'. Mantan Presiden PKPIM pada ketika itu, Anwar Ibrahim (Datuk Seri) telah ditahan selama 2 tahun diatas perhimpunan tersebut. Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telahpun dirangka awal pada tahun 1971 tetapi peruntukan undang-undang dalam akta tersebut tidak cukup ketat bagi mengekang gerakan mahasiswa pada ketika itu. Demonstrasi Baling merupakan alasan pihak pemerintah untuk meminda akta tersebut pada tahun 1975.

Kejayaan mahasiswa dalam menjatuhkan banyak pemerintahan di negara luar telah membuka mata ramai pihak mengenai potensi dan kebolehan mahasiswa. Sebut sahaja mengenai peristiwa penggulingan Presiden Argentina iaitu Presiden Juan Peron, ianya juga dikaitkan dengan Mahasiswa yang bertindak sebagai lapisan pertama pembangkang Peronist melawan pihak pemerintah pada masa itu dengan mengunakan slogan mereka yang tersendiri iaitu “No to cheap shoe dictatorship”. Perhimpunan yang dimulakan oleh golongan mahasiswa itu menyeru rakyat lain untuk berhimpun sehingga membawa kepada pengulingan Presiden Juan Peron pada tahun 1955.

Mahasiswa juga terlibat dengan lansung dalam pengulingan Presiden Iran iaitu Presiden Shah Mohamad Reza Pahlevi sehingga tercetusnya revolusi Iran. Kita singkap kembali sejarah revolusi Iran. Mahasiswalah yang memainkan peranan penting dalam  peringkat pertama revolusi Iran apabila sejumlah mahasiswa Islam menentang kepimpinan Shah dengan mengadakan demonstrasi. Kerajaan Shah kemudiannya menghantar tentera untuk menenteramkan demonstrasi tersebut sehingga menyebabkan beberapa orang mahasiswa terbunuh. Akibat daripada peristiwa pembunuhan mahasiswa tersebut, maka tercetusnya pergeseran di Tabriz sehingga tercetusnya peristiwa revolusi Iran melalui perhimpunan oleh rakyat Iran yang lain. Revolusi Iran berlaku dengan kepimpinan Ayatollah Khomeini mengambil alih kepimpinan Shah Iran.

Pemerintahan Presiden Ferdinand Marcos pada tahun 1986 melihatkan peranan gerakan mahasiswa di Filipina dalam memperjuangkan hak dan keadilan sejagat. Kira-kira 50 ribu mahasiswa dan pekerja menyerbu Istana MalacaƱang pada 30 Januari 1970 untuk menunjukkan rasa tidak puas hati dan kekecewaan mereka terhadap pemerintah diktator Ferdinand. Kejayaan mahasiswa dalam penawanan beberapa tempat di Filipina tersebut membuktikan bahawa mahasiswa bukanlah golongan yang lemah dan golongan yang boleh ditutup mulut untuk mengikut rentak pemerintah yang sumbang.

Dalam sejarah negara Indonesia pula, Mahasiswa telah mencatatkan sejarah dalam demonstrasi mendesak kepimpinan Presiden Soeharto untuk menurun tahta. Demonstrasi demi demonstrasi yang dianjurkan oleh mahasiswa dan penawanan bangunan parlimen akhirnya berjaya menumbangkan regim kuku besi Soeharto dan akhirnya pada 21 Mei 1998, Soeharto akhirnya tunduk kepada kehendak rakyat dengan perletakan kuasa selepas memerintah Republik Indonesia selama 32 tahun. Parti Rakyat Demokratik (PRD) yang ditubuhkan oleh mahasiswa dan anak muda tekah memainkan peranan penting dalam menjatuhkan Arwah Soeharto. PRD turut bertanding dalam pilihanraya 1999.

Di negara yang terkenal dengan produk-produk seperti LG, Hyundai, samsung dan drama romantis oleh rakyat di negara kita iaitu Korea, Mahasiswa di negara tersebut juga memainkan peranan mereka dalam peristiwa di Gwangju pada 30 tahun yang lalu. Di Mana Presiden Park Chung Hee telah dibunuh dan Jeneral Chun Doo Hwan ke tampuk kuasa melalui kudeta dan mengamalkan pemerintahan diktator. Pemerintahan kudeta yang tidak sah itu membuatkan rakyat tidak senang dengan Jeneral tersebut serta mengundang rakyat melakukan demonstrasi. Demonstrasi demi demonstrasi yang telah dijalankan menyebabkan berlakunya peristiwa darurat pada 17 Mei 1980. Namun ianya tidak melemahkan para demonstran. Mahasiswa dan anak muda di Gwangju memulakan bantahan terhadap undang-undang darurat dengan keluar ke jalan raya bagi membantahnya. Kira-kira 100 orang mahasiswa dari Universiti Kebangsaan Chonnam berarak menuju ke pintu pagar universiti tersebut yang di kepung oleh tentera. Mereka membantah tindakan tentera mengambil alih universiti tersebut. Peristiwa kebangkitan Gwangju menjadi inspirasi kepada pergerakan prodemokrasi di seluruh negara. Presiden Akhirnya Jeneral Chun Doo Hwan akhirnya terpaksa tunduk kepada Kebangkitan rakyat dan Presiden Roh Tae Woo mengambil alih tempat tersebut.

Dalam melihat hal ini, saya suka untuk merujuk kepada sebuah buku lama yang diterbitkan pada 1969 oleh Prof Faeur dari Universiti Toronto dalam bukunya The Conflict of Genegration - The Character and Significant of the Student Movement, menyatakan bahawa protes dan bantahan yang ditunjukkan oleh mahasiswa adalah hasil daripada 'konflik generasi' atau Generational Conflict. Hal ini berpunca daripada perasaan benci atau menyampah 'Generasi Baru' kepada 'Generasi Lama', yang disifatkan tidak bermorak, peradaban yang rosak, lapok, penyalah gunaan kuasa, tidak bertanggungjawab dan melakukan penindasan serta kotor. Istilah 'Generasi di sini adalah sesuatu yang subjektif, dimana ia mungkin boleh merangkumi universiti, pihak berkuasa, kerajaan atau mungkin masyarakat itu sendiri yang telah rosak peradabannya.

Menghayati sejarah beerti bukan disimpan di dalam peti muzium untuk kenang-kenangan, tetapi sejarah adalah coretan untuk membina sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang. Mahasiswa seharusnya berasa jelek dengan perkataan 'senyap'. Bersikap apologia dengan 'berdiam diri' dan 'berpeluk tubuh' melihat kecelakaan berlaku kepada umat. Kalau mahu diteruskan dengan sikap itu, jangan sama sekali mengambil amanah sebagai mahasiswa. Kekuatan kepimpinan negara masa hadapan adalah terletak ditangan generasi Mahasiswa pada hari ini. Jika Mahasiswa yang dihasilkan hanya bersifat 'Ayam Daging' yang bersedia disembelih pada bila-bila masa, pasti negara juga akan bersedia dilapah pada masa akan datang. Dalam aspek ini, saya bersetuju dengan apa yang diungkapkan oleh Prof Diraja Ungku Aziz, Kepimpinan akan lahir daripada mahasiswa yang 'terpelajar' dan mencabar.

Secara tuntasnya, Mahasiswa merupakan orang yang intelek dan mempunyai 'critical thinking'  dalam memikirkan keadaan dan isu semasa kini. Dalam mendepani zaman, kita tidaklah seharusnya meninggalkan sejarah yang lalu di mamah usia. Kita unggkap kembali peranan mahasiswa dan golongan belia dalam proses pendemokrasian negara luar, proses menuntut keadilan sejagat dan juga keadilan sosial. Sememangnya saya akui bahawa peranan mahasiswa amat penting bagi memacu negara kearah negara yang maju, moden dan berpendapatan tinggi. Saya ingin memetik kata-kata Professor Doktor Yusuf Qardhawi, sarjana pemikir tersohor mengenai belia, “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan,lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku." 

Golongan mahasiswa yang juga acap kali diingatkan bahawa merekalah yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan Negara suatu masa kelak; namun mereka juga sering dimomokkan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) mengenai pembabitan mereka dalam pelbagai aktiviti terutamanya politik. Jelas kenyataan bercanggah ini satu hipokrasi. Malangnya wacana yang dibentuk pihak berkuasa tidak menghiraukan aspirasi dan keperihatinan golongan mahasiswa.

Penahanan mahasiswa yang mengikuti kempen pilihanraya kecil yang lalu jelas menunjukkan bahawa hak keistemewaan yang dikecapi oleh belia hilang secara tiba-tiba apabila mereka mendaftarkan diri sebagai mahasiswa. Ironinya, penahanan mereka ini hanya kerana mengedarkan risalah untuk memeriahkan lagi proses demokrasi di negara kita seperti mana Negara lain yang mengamalkan pemerintahan demokrasi.

Mungkin ada pihak yang takut dengan bayang-bayang mereka sendiri kerana gerakan mahasiswa mampu untuk menjatuhakn sesebuah pemerintahan melalui beberapa siri gerakan mereka ini. Kita tidak dapat membohongi sejarah yang lampau mengenai potensi mahasiswa yang kita ada. Sejarah telah menyaksikan gerakan mahasiswa amat berkesan dalam perubahan corak dan pola politik di sesebuah negara.

Pembabitan mahasiswa dalam banyak peristiwa di seluruh dunia ini membuktikan besarnya peranan dan pengaruh mahasiswa dalam sesuatu kepimpinan sesebuah Negara. Sebagai seorang anggota masyarakat, kita tidak seharusnya memandang remeh mengenai peranan mereka ini kerana golongan mahasiswa yang kita ada ini. Mereka juga merupakan mahasiswa yang berumur lebih 21 tahun dah sudahpun matang mengenai politik yang ada di Negara kita. Jika Negara maju dapat membenarkan rakyatnya mengundi ketika umur serendah 18 tahun, kenapa di Negara kita menghalang mahasiswa yang berumur diatas 21 tahun untuk berpolitik?

Jika mahasiswa itu tidak matang untuk masuk ke dalam politik, apakah belia yang tidak masuk ke universiti dan sama umur dengan mahasiswa itu matang berpolitik? Hal ini seolah-olah menghilangkan keistimewaan orang yang bergelar mahasiswa sedangkan merekalah yang menjadi harapan kepada masyarakat di luar untuk memacu masa depan yang gemilang. Pengarahan kepada AUKU berlaku apabila kerajaan menegaskan pelajar tidak dibenarkan bergabung atau menyokong mana-mana parti politik dan kesatuan sekerja. Hal ini merupakan kesedaran pihak kerajaan untuk mencegah kebangkitan pelajar melalui perundangan.

Larangan pelajar untuk mengikuti politik (bukan menyertai parti politik) akan menjauhkan pelajar dengan rakyat dan menyekat idea pelajar menyumbang kea rah pembangunan. Sokongan mana-mana pihak pelajar kepada mana-mana pertubuhan parti politik tidak bermakna mereka menyokong parti tersebut.

Secara tuntasnya, mahasiswa bukanlah golongan yang masih lagi dianggap sebagai dangkal dan kebudak-budakan. Sejak dari zaman berzaman mahasiswa telah dihalang untuk melalui kancah politik. Saya berharap agar mahasiswa diberikan layanan yang sama rata dengan rakyat Malaysia yang lain untuk boleh bergiat dalam politik. Mahasiswa inginkan bahawa mereka bebas berpolitik bukannya memasuki parti politik. Pemikiran mereka sudahpun matang bagi menilai sesuatu perkara. Justeru itu, sudah tiba masanya untuk memansuhkan AUKU dan Akta 174 yang menjadi tembok penghadang kepada kebebasan golongan mahasiswa kini.