Fakta Hijrah Rasulullah S.A.W:  Kedatangan tahun baru Hijrah wajar  dinamakan kembali dengan nama 'Awal Muharram'. Penggunaan nama Maal  Hijrah sangat mengelirukan, bukan sahaja terhadap orang awam malah  ustaz-ustaz yang tidak belajar sirah turut terkeliru! 
Dengan istilah  Maal Hijrah ramai yang beranggapan malah meyakini bahawa Peristiwa Hijrah Rasulullah S.A.W berlaku pada 1  Muharram, sedang dalam pengajian hadits dan sirah mencatatkan tarikh  yang berbeza sama sekali.  Ahli-ahli sejarah meriwayatkan bahawa baginda  S.A.W keluar dari rumah baginda menuju rumah Abu Bakar untuk berhijrah  adalah pada bulan Safar. Al-Syeikh Al-Mubarakfuri dalam kitab sirahnya  yang terkenal Al-Rahiq al-Makhtum mencatatkan bahawa pada 27 Safar  bersamaan dengan 13 September tahun 622M. Kemudian di Gua Tsur.
Pada  hari pertama Rabiul Awwal bersamaan 16 September barulah baginda  bergerak ke Madinah atau yang dikenali dengan nama Yatsrib ketika itu.  Pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal bersamaan dengan 23 September barulah  baginda sampai ke Quba. Baginda berada selama empat hari di Quba dan  mengasaskan Masjid Quba. Kemudian pada hari Jumaat minggu tersebut  barulah baginda memasuki Madinah.
Dengan ini, maka sangkaan sesetengah  pihak bahawa Nabi S.A.W berhijrah pada bulan Muharram adalah tidak  tepat. Sebaliknya bulan Muharram adalah bulan pertama dalam perkiraan  Arab. Maka tahun hijrah dikira bukan kerana Nabi S.A.W berhijrah pada  Muharram, tetapi kerana tahun berkenaan berlakunya peristiwa hijrah.  Maka tahun peristiwa itu berlaku dikira sebagai tahun pertama.   Adapun  bulan Muharram sememangnya bulan pertama bagi tahun Arab seperti Januari  bagi tahun masihi.
 
 Doa awal tahun: 
Doa akhir tahun:
Allah SWT berselawat ke atas penghulu  kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan  kesejahteraan ke atas mereka.
Wahai Tuhan, apa yang telah aku  lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah  daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan  Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya  di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi  Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan  dosa-dosa itu semuanya.
Sesungguhnya aku memohon keampunanMu,  maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada  apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas  yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.
Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah!  Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima  taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu  Wahai Yang Maha Pemurah.
Dan Allah berselawat ke atas penghulu  kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan  mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.
Allah SWT berselawat ke atas penghulu  kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan  kesejahteraan ke atas mereka.
Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal  abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan  kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di  hadapan kami.
Kami memohon pemeliharaan dariMu di  sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan  tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan  melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan  Yang Maha Agung dan Maha Mulia.
Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari  mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami  Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan  sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.

 
 
 
No comments:
Post a Comment