
Mak pandang jenazah  abang yang terbaring kaku. Walaupun muka sembap, perut membusung, namun  mak nampak ketenangan pada wajah abang.
Mak ambil pisau. Mak  potong baju-T yang tersarung pada tubuh abang, baju terkahir yang abang  pakai, Mak terpaksa potong kerana kerana baju itu tidak muat untuk  melalui perut abang yang 'buncit'.
Tapi, mak akan simpan baju  itu. Mak tak cuci, sesekali boleh mak cium baju itu, sekadar pengubat  rindu di hati. Kemudian abah kendong tubuh abang ke pangkin yang telah  disediakan. Lalu abah dan mak mandikan jenazah abang. Hanya kami berdua.  Mak tak mahu orang lain. Biar tangan abah dan mak yang menjiruskanair  buat kali terakhir pada tubuh kecil abang.
Mak nampak anak mata  abah, berkaca-kaca, setitis dua air matanya tumpah, mengalir di pipi,  tapi cepat-cepat abah sapu dengan lengan sasanya.
"Bang, jangan menangis. Kita selesaikan hingga ke titisan terkahir," begitulah kata mak pada abah.
Setelah  abang dimandikan, mak bantu abah kapankan jenazah abang. Pun hanya kami  berdua juga. biar tangan kami saja yang memakai dan membalutkan kain  terakhir pada tubuh abang.
"Kakak, jangan menangis. tak baik buat abang macam tu!"
Itu  pesan mak semasa kakak-kakak mahu mengucup dahi abang buat kali  terakhir. Abah pula selepas mengucup dahi abang, cepat-cepat abah  menjauh memalingkan muka.
Mak nampak air mata abah berjuntaian  membasahi pipi. Dan buat kali terakhir itu juga, mak usap dahi abang.  Mak senyum, lantas kucup dahi abang.
Mak bisikkan: "Abang tunggu mak di syurga ya!"
Akhirnya,  wajah abang 'ditutup'. Kami sembahyangkan abang buat kali terakhir.  Ramai betul jemaah yang turut serta. Setelah itu, kami bawa abang ke  tanah perkuburan.
Abah masuk ke dalam liang lahad untuk menyambut  jenazah abang. Alhamdulillah, semua kerja dipermudahkan. Abang sudah  selamat di sana.
Bertubi-tubi mak terima ucapan takziah daripada  tetamu yang datang. Abang nak tahu, ada satu soalan yang mereka tanyakan  pada mak.
Soalan itu asyik terngiang-ngiang di telinga mak.  Tanya mereka: "Kakak uruskan jenazah anak kandung sendiri, tapi setitis  air mata tak jatuh ke pipi? Kenapa kakak tidak menangis?" Itulah soalan  mereka.
Mereka hairan kenapa mak tidak menangis, sebaliknya bibir  mak tidak lekang dengan senyuman. Kenapa mak masih mampu tersenyum di  saat memangku sekujur tubuh yang pernah berada dalam rahim mak dulu?
Petang  itu, mak duduk di satu sudut di ruang tamu rumah. Mak terfikir tentang  soalan mereka itu. Mak tak tahu nak jawab macam mana. Kemudian, mak  nampak sebuah diari di atas para di sudut ruang tamu.
Lantas mak  capai diari kecil itu. Di dalamnya tercatat peristiwa yang berlaku  sepanjang empat tahun dua bulan mak membesarkan abang.
Mak selak  helaian demi helaian paparan kertas dalam diari yang sedikit usang itu.  Aduh! Banyak sungguh memori yang tercatat di dalamnya.
Membacanya  bagaikan meruntun jiwa mak kembali mengenangkan perjalanan derita abang  sejak lahir hingga menghembuskan nafas terakhir.
Mata mak  terpaku pada catatan peristiwa lebih kurang tiga bulan sebelum abang  pergi. Mak rasa, di sinilah terkandung jawapan yang mak cari-cari.
Jawapan  untuk soalan yang mereka tanya kenapa mak tidak menangis? Mak akan  bacakan sedikit rentetan diari ini supaya mereka tahu kenapa mak tidak  menangis, sayang.
Januari 2011-  Perut abang semakin membusung  kerana hati membengkak. kata doktor, semua organ dalaman abang sudah  rosak,sudah 'reput'. Tak boleh diselamatkan lagi. Tidak mengapa. Hati  mak berkata, cukuplah! Tidak akan ada lagi pembedahan untuk abang.
26  Februari 2011-  Hari ini ulang tahun ke-4 abang. Dua hari sebelum itu,  mak tanya, abang nak kek apa? Abang jawab, nak kek lori sampah!
Hah  Hah.. Tergelak mak.Abang suka sangat melihat lori sampah yang lalu  setiap pagi depan rumah. Sebab itu abang nak kek bentuk lori sampah,
Puas  mak dan abah melilau sekitar Kuala Lumpur, tapi tak jumpa kek macam tu.  Tak ada yang sanggup buat kek macam yang abang minta.
Mak  kecewa! Selama ini, mak tunaikan apa saja permintaan abang, tapi kali  ini mak gagal. Mak belikan kek coklat strawberi sebagai pengganti.
Dengan  perut membusung, dada berombak kerana sukar bernafas, abang masih  tersenyum dan nampak ceria melayan rakan-rakan yang datang, sama-sama  menyanyikan lagu hari jadi abang. Dan ketika itu, hati mak sudah  terdetik, mungkin ini hari jadi abang yang terakhir.
7 Mac  2011-  Keadaan abang makin kritikal. Perut abang semakin besar. Abang  tak mampu nak bergerak, lebih banyak terbaring dan asyik sesak nafas.  Mak tak tahan lihat keadaan abang.
Mak bawa abang ke IJN, rumah 'kedua' abang sepanjang tempoh hayat abang. Kata doktor, tiada apa yang boleh dilakukan lagi.
Abang hanya menanti waktu. Mak angguk perlahan. Mak redha. Dalam hati mak juga sudah berkata, masa abang tidak lama lagi.
Para ibu di wad tersebut asyik bertanya pada mak, macam mana dengan abang? Mak jawab: "InsyaAllah, abang akan sihat!"
Mak  terpaksa cakap begitu pada mereka, sebab mak tak mahumereka semua lemah  semangat jika mereka tahu abang sudah tiada harapan lagi.
Mereka  pun sama, masing-masing bertarung dengan ujian apabila anak yang  dikasihi ditimpa penyakit. jadi biarlah jawapan yang mak beri itu  kedengaran manis pada telinga mereka. Pahitnya, biarlah mak sendiri  telan.
13 Mac 2011- Hari Ahad. Mak pinta kebenaran doktor  untuk bawa abang pulang kerumah . Doktor izinkan. Biarlah abang habiskan  waktu-waktu terakhir bersama keluarga. Dan di saat-saat akhir ini, mak  mahu tunaikan apa saja permintaan abang.
Di rumah, setiap hari mak akan tanya: "Abang nak apa harini?"
Mak masih ingat pada suatu pagi, abang menjawab: "Mak, abang nak naik kereta bomba!"
Mak  termenung dengar permintaan abang. Bila abah pulang ke rumah, terus mak  ajak abah keluar. Abah tanya pergi mana? Mak jawab: "Balai bomba!"
Sampai  di situ, mak minta izin pegawai bomba. Mak kata, abang teringin nak  merasa naik ke dalam trak bomba. Pegawai itu garu-garu kepala,  kemudiannya menggeleng-gelengkan kepala.
Belum sempat pegawai  bomba itu menjawab, lantas mak tarik baju abang ke paras dada. Separuh  berbisik, mak beritahu pegawai itu: "Encik, ini anak bongsu saya dan  hanya menanti masa untuk 'pergi'! Benarkan saya tunaikan impian  terakhirnya ini!"
Bila lihat perut abang yang buncit dan dada  dipenuhi kesan parut dan jahitan, pegawai itu tak tunggu lama. Terus  diacapainya kunci, dibuka pintu salah satu trak bomba itu.
Dia  dukung abang, letakkan ke atas tempat duduk bahagian pemandu. Abang  nampak gembiru sangat biarpun cuma 15 minit abang di dalam trak itu.  Abang tak perasan, mak palingkan muka lima saat. Sekadar mahu mengelap  titisan air mata yang mula bertakung.
Hari lain, mak tanya lagi: "Abang nak apa?"
Abang jawab: "Abang nak naik lori sampah!"
Mak dukung abang, tunggu depan rumah. Bila lori sampah lalu pagi itu menjalankan rutinnya mengutip sampah, Mak tahan lori itu.
"Encik, anak saya teringin naik lori ni. Boleh izinkan sebentar?"
Pekerja  itu tertawa mendengar kata-kata mak. Kemudian, mak angkat baju abang  dan beritahu perkara sama. Berubah mimik wajah mereka.
Segera  mereka angkat abang, letakkan di tempat duduk pemandu. Ada antara  pekerja itu yang memalingkan muka, tak sangup lihat abang lama-lama.  Sedih agaknya.
Begitulah seterusnya. Setiap hari, mak akan tanya  pertanyaan yang sama. Abang kalau nak tengok gajah, mak bawa abang pergi  zoo. Walaupun abang tak larat jalan, tak apa. Mak dan abah tidak kisah,  kami silih berganti dukung abang.
Abang kata nak tengok burung,  mak bawa ke taman burung. Abang kata nak main permainan robot, mak bawa  ke kompleks beli-belah yang ada permainan seperti itu. Ke mana saja  abang nak peri,semuanya mak tunaikan!
Setiap hari juga mak tanya  abang nak makan apa. Macam-macam  abang teringin nak makan. Martabak,  nasi paprik, milo ais, cendol, air tebu, air bandung, rojak dan  macam-macam lagi, semuanya mak tunaikanwalaupun makanan itu abang pinta  pada pukul 3.00 pagi!
Apa saja yang teringin oleh tekak abang,  semua mak cari walaupun abang sekadar menjamahnya sesudu dua. Apa saja  abang pinta, kami tunaikan.
Mak tahu, mak faham, masa abang bersama mak dan abah semakin suntuk!
27  Mac 2011-  Abang semakin kritikal! Nak bercakap pun terlalu lemah,  apatah lagi untuk bergerak. Mata kuyu, hanya terbaringsambil memeluk  Aina, anak patung kesayangan abang. Mak ajak abah bawa abang ke  hospital.
"Kali ini kita bawa abang ke IJN, tapi kita mungkin akan keluar dengan tubuh abang yang sudah tidak bernafas!"
Itu  kata-kata mak pada abah sebelum bertolak ke IJN. Mak mahu abah bersedia  dan redha jika apa-apa berlaku. Sampai di IJN, abang terus ditempatkan  di wad khas untuk pesakit kritikal.
5 April 2011-  Mak  telefon sekolah asrama kakak yang sulung di Seremban. Mak minta  pelepasan daripada cikgu untuk benarkan kakak pulang.
"Adik tenat. Saya mahu kakak-kakaknya berada di sampingnya pada saat terakhir!"
Itu  kata-kata mak pada cikgu dan akak diizinkan pulang pada hari ini.  Kemudian, Dr. Adura. , doktor yang sinonim merawat abang datang melawat.
Mak  memang rajin bercerita dengan Dr. Adura. Kebetulan mak ceritakan yang  mak terkilan tak dapat tunaikan permintaan abang mahukan kek berbentuk  lori sampah.
7 April 2011-  Pagi ini Dr. Adura datang melawat abang. Kemudian Dr. Adura beritahu ada surprise untuk abang tengah hari ini. 
Rupa-rupanya,  tengah hari itu datang tetamu yang juga rakan-rakan alam maya Dr. Adura  membawa kek lori yang abang mahukan sebelum ini.
Ada dua kek  mereka bawa. Mak tak sangka, Dr Adura tulis di dalam blognya kisah abang  dan ramai yang mahu menyediakan kek yang abang pinta.
Sekali  lagi, para tetamu bersama jururawat dan doktor menyanyikan lagu selamat  ulang tahun untuk abang. Tapi abang kurang ceria, wajah abang tampak  letih dan nafas abang turun naik.
8 April 2011-   Tengah hari ini, masih ada lagi tetamu datang membawa kek berbentuk  lori warna pink untuk abang. Tapi abang sekadar lemah. Abang sekadar  terbaring merenung kek itu.
Malam itu, semasa jururawat mengambil  tekanan darah abang, bacaanya meningkat naik. Tapi hati mak dapat  rasakan abang sekadar mahu meredakan keresahan hati mak. Malam itu,  hanya mak berdua dengan abang di dalam bilik.
Mak pandang sayu  wajah abang yang semakin lesu dan pucat. Mak duduk di sebelah abang, mak  peluk dan usap rambut abang. Mak menangis teresak-esak bagai anak  kecil.
Dalam tangis itu, mak katakan pada abang: "Mak tahu abang  nak senangkan hati mak. Abang tak perlu buat macam tu. Mak tahu abang  nak pergi.
"Jangan tahan-tahan abang. Pergilah. Mak sudah sedia.  Mak redha segalanya. Mak puas dapat sempurnakan apa saja hajat yang  abang pinta. Mak juga bangga kerana Allah hadirkan abang dalam hidup mak  walaupun seketika!"
Abang hanya diam, memandang mak dengan  pandangan lesu. Dan ketika itu mak menangis sepuas-puasnya. Dan mak  berjanji tidak akan menangis lagi selepas itu! Ya, mak tidak akan  menangis lagi biarpun abang sudah tiada lagi di dunia. 
9  April 2011-  Pagi itu mak pesan pada abah agar bawa semua anak-anak  datang ke hospital. Masa abang dah dekat sangat. Mak lihat abang dah  kritikal. Wajah abang sudah tampak biru, lebam! Dada berombak,  tercungap-cungap menarik nafas.
Abang dah tak mampu bercakap lagi sejak malam tadi. Makan minum pun tak mahu. Pakul 8.00 pagi, abah dan kakak sampai. 
Mak  suruh kak long bacakan Yaasin di sebelah abang. Mak suruh abah baca  juga, tapi bacaan abah tersekat-sekat kerana cuba menahan tangisnya.
Pukul 3.00 petang, abang makin lesu. Lantas mak ajak abang keluar berjalan-jalan.
"Abang, nak tengok matahari tak? Jom kita turun kantin minum sambil tengok matahari!"
Abang  hanya mengangguk lemah. Mak dukung abang dan kita satu keluarga turun  ke kantin. Abang mahu minum air coklat. Tapi abang hanya minum seteguk.  Kemudian, abang lentukkan kepala pada bahu mak.
"Abang, tu tengok kat luar tu? nampak tak sinar matahari tu? Cantikkan?"
Mak tunjuk pada abang sinar matahari yang kelihatan di celah-celah rintik hujan yang turun waktu itu.
Abang angkat kepala melihat ke arah matahari itu. kemudian, abang menguap.
"Abang ngantuk!" Itu kata abang dan kemudian abang terlentuk semula pada bahu mak.
Tiba-tiba jantung mak berdegup kencang.
"Bang,  jom naik. Abang nak 'tidur'! Mak terus ajak abah dan kakak naik semula  ke wad walaupun mereka belum sempat jamah makanan di atas meja."
Mak tahu, masa abang sudah hampir tiba!
Sampai di wad, mak baringkan abang atas katil. Dan abang terus merintih dalam nada yang lemah: "Makkk..sakit perut!"
Dan  abang terus memanggil: "Makkkkk!". Suara abang perlahan dan amat sayu  bunyinya. Lantas mak letak tapak tangan mak atas dahi abang.
"Abang,  hari ini, waktu ini, mak redhakan abang pergi. Mak halalkan segala  makan minum abang. Mak halalkan air susu mak untuk abang. Pergilah  abang. Mak izinkan abang pergi!"
Mak ucapkan kata-kata itu sambil  merenung jauh ke dalam mata abang yang semakin kuyu. Saat abang sedang  nazak itu, mak panggil kakak-kakak agar mengucup abang selagi abang  masih bernafas. Mereka kucup pipi abang bertalu-talu dan mula meraung  dan menangis.
"Kakak! kalau kamu semua nak menangis, keluar dari  bilik ini. Mak tak mahu abang dengar kamu menangis! Jangan seksa abang  dengan tangisan kamu!"
Mak marah mereka buat begitu pada abang.  Mak tak mahu abang lihat kami menangisi pemergian abang. Mak tahu, abang  akan jadi lebih sedih dan berat hati untuk pergi bila melihat kami  menangis di saat akhir sakaratul maut menjemput abang.
Mak tak  mahu tambahkan lagi kesedihan abang untuk meninggalkan kami. Abah pula  hanya berdiri di penjuru bilik, meraup wajah menahan suara tangisannya.
Jururawat  yang ada dalam bilik juga menangis, mak suruh jururawat keluar dan  tutup tirai bilik itu. Mak tak mahu orang luar lihat. Mak tak mahu ada  orang menangis di saat  abang akan pergi. Setitis dua mengalir juga air  mata mak. Tapi mak masih mampu tersenyum.
"Pergilah abang. Mak  izinkan. Mak izinkan.. pergilah..!" Dan perlahan-lahan mata abang yang  layu tertutup rapat, genggaman tangan abang pada jari mak semakin lemah  dan akhirnya terlepas..
Pukul 3.50 petang, akhirnya abang  meninggalkan dunia fana ini. Innalillah.. Mak kucup dahi abang. Mak  bisikkan di telinga abang: "Tenanglah abang di sana. Suatu hari nanti,  mak juga pasti akan turuti jejak abang. Abang.. tunggu mak di sana ya!  Di syurga!"
Abang, sekarang mak dah dapat jawapanyya. Mengapa mak tidak menangis?
Pertama, abang telah di takdirkan menjadi ahli syurga yang akan membantu mak di sana nanti.
Kedua, apa saja keinginan abang semasa hayat abang telah mak tunaikan. Tiada lagi rasa terkilan di hati mak.
Ketiga,  segala hutang sebagai seorang ibu telah mak langsaikan semasa hayat  abang. Mak telah sunatkan dan buat akikah untuk abang.
Keempat,  mak telah menjalankan tanggungjawab sepenuhnya, sentiasa berada di sisi  abang dan menggembirakan abang setiap saat dan waktu.
Kelima, mak  rasa istimewa dipilih Allah untuk mendapat anak seperti abang. Mak jadi  'kaya' dengan kehadiran abang. Kaya kesabaran, kaya tawadhuk, kaya  keredhaan , kaya keimanan, kaya kawan, kaya ilmu, dan kaya pengetahuan.
Mak  telah beri segalan-galanya melebihi 100% untuk abang. Mak telah beri  yang terbaik dan mak telah berusaha hingga ke garisan penamat. Sebab itu  mak tak perlu menangis lagi.
Abang.. biarpun kini hidup mak dan  abah terasa sunyi dan kosong tanpa abang tapi mak akan sentiasa  tersenyum mengenangkan saat-saat terindah kehadiran abang dalam hidup  kami biarpun cuma sebentar. 
 
Abang dalam kisah ini adalah adik Iqbal  Fahreen Hamdan, anak bongsu daripada lima beradik. Abang masuk hospital  seawal usia dua minggu akibat menghidapi lima jenis kompilasi jantung  termasuklah kekurangan injap, jantung berlubang dan saluran sempit.  Abang telah menjalani pelbagai siri pembedahan seawal usia dua bulan dan  ada antara pembedahan seawal usai dua bulan dan ada antara  pembedahannya gagal, malah abang pernah disahkan 'mati' apabila  jantungnya berhenti berdenyut. Walaupun pada awalnya doktor  mengjangkakan hayat abang tidak lama selepas lahir ke dunia, namun  ternyata anak kecil ini mampu bertahan sehingga usia empat  tahun untuk  meninggalkan kenangan terindah dalam hidup Jamilah (ibu) dan Hamdan  (bapa). Al-Fatihah..
Moral value: Begitu besar pengorbanan kedua ibu dan bapa, liku-liku dugaan dalam kehidupan, hargai orang sekeliling kita selagi mereka masih bernafas.