Segala  puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam  buat  junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW. keluarga serta para sahabat  dan  pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
 Sahabat yang dirahmati Allah,
 Bulan  Ramadan adalah bulan yang mulia di sisi Allah SWT. Terdapat 5   keistimewaan bulan Ramadan yang di kurniakan oleh Allah SWT kepada umat   Nabi Muhammad SAW berbanding dengan umat-umat sebelum baginda.
 Imam  Ahmad telah meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Nabi  SAW  bersabda maksudnya : “Ummatku telah diberi lima hal yang belum  pernah  diberikan kepada ummat-ummat sebelumnya ketika bulan Ramadan:
 Pertama : Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum dari pada minyak kesturi di sisi Allah,
  Kedua : Para Malaikat beristighfar untuk mereka hingga berbuka,
  Ketiga : Allah memperindah syurga-Nya setiap hari,  seraya berfirman kepadanya:  “Hampir-hampir para hamba-Ku yang soleh  akan mencampakkan berbagai  kesukaran dan penderitaan lalu kembali  kepadamu,”
  Keempat : Syaitan-syaitan durjana dibelenggu, tidak dibiarkan lepas seperti pada bulan-bulan selain Ramadan,
  Kelima  : Mereka akan mendapat ampunan di akhir  malam.” Ada yang bertanya,  “Wahai Rasulullah, apakah itu terjadi pada  malam Lailautl Qadar?”  Baginda menjawab, “Bukan, namun pelaku kebaikan  akan disempurnakan  pahalanya seusai menyelesaikan amalanya.”
 Lima perkara  yang Allah SWT persiapkan untuk kalian. Dengan lima  perkara tersebut,  kalian mendapat keistimewaan dari Allah SWT di antara  ummat-ummat  lainnya. Semua itu diberikan Allah SWT untuk  menyempurnakan berbagai  nikmat-Nya kepada kalian. Sesungguhnya betapa  banyak nikmat dan  keutamaan yang telah Dia berikan kepada kalian,  sebagaimana firman-Nya  yang bermaksud : “Kamu adalah umat yang terbaik  yang dilahirkan untuk  manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan  mencegah dari yang mungkar,  dan beriman kepada Allah..” (Surah Al-Imran  ayat 110)
 Huraiannya :
 Pertama : Bau busuk dari mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.
  Mulut  orang yang berpuasa bau haruman kasturi – Ulama mentafsirkan  bahawa  yang dimaksudkan dengan terlebih harum disisi Allah daripada bau  kasturi  ialah bahawa pada hari akhirat Allah akan memberi ganjaran  dengan  haruman kepada bau mulut orang yang berpuasa dengan haruman yang   terlebih semerbak dan segar daripada bau kasturi.
 Ada juga  ulama mentafsirkan pada hari kiamat apabila kita bangun  daripada kubur,  suatu bau harum akan terkeluar daripada mulut  orang-orang yang berpuasa  yang terlebih harum daripada bau kasturi.
 Tafsiran yang  paling tepat ialah yang mengatakan bahawa bau mulut  yang keluar daripada  mulut orang yang berpuasa di dunia ini terlebih  harum di sisi Allah  daripada kasturi.
 Puasa merupakan ibadah yang tersangat  berharga di sisi Allah dan  dengan sebab ini juga Allah berfirman yang  bermaksud : “ Ganjaran bagi  puasa Aku sendiri yang memberinya, kerana  puasa itu adalah untukKu  sendiri.”  
 Hadis juga ada  menyebut,: “Puasa adalah pintu bagi semua bentuk  ‘ibadah’. Maksudnya  ialah menerusi puasa hati akan bercahaya dan  melaluinyalah keinginan  untuk melakukan ibadat-ibadat yang lain akan  terangsang.Ini hanya akan  dapat dicapai jika puasa dilaksanakan dengan  mematuhi syarat-syaratnya  dan bukannya setakat berlapar dan dahaga  sahaja.
 Dalam  hadis yang lain daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah  mendengar  Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW telah bersabda yang  bermaksud :  "Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia  untukKu  (Allah) dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai,  maka apabila  seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang  menghampiri  (bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.  Sekiranya dia  dihina atau diserang maka dia berkata : 'Sesungguhnya aku  berpuasa' demi  Tuhan yang mana diri Nabi Muhammad ditanganNya maka  perubahan bau mulut  orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari  kiamat daripada bau  kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan  yang mana dia  bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira  dengan waktu  berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira  dengan puasanya.  (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn  Khuzaimah, Ibn  Habban dan Baihaqi)
 Kedua : Para malaikat beristighfar untuk mereka hingga berbuka.
 Para  malaikat adalah hamba-Nya yang dimuliakan di sisi-Nya,  sebagaimana  Allah SWT menceritakan sifat malaikat  dalam firman-Nya  yang bermaksud :  “…yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang  diperintahkan-Nya  kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang  diperintahkan.” (Surah  At-Tahrim ayat 6)
 Maka dari itu, sungguh layak apabila  Allah SWT mengabulkan doa para  malaikat untuk orang yang berpuasa. Sebab  mereka memang telah diizinkan  untuk itu. Allah mengizinkan para  malaikat untuk beristighfar bagi  mereka untuk mengangkat, meninggikan  penyebutan, serta menjelaskan  keutamaan puasa ummat ini. Makna istighfar  adalah meminta ampun  terhadap dosa-dosa yang dilakukan demi kebaikan di  dunia dan akhirat.  Setiap anak Adam tidak terlepas daripada melakukan  dosa dan bersikap  melampaui batas terhadap diri mereka sendiri. Sehingga  mereka  benar-benar mengharapkan keampunan daripada Allah SWT.
 Ketiga : Allah memperindah syurga-Nya setiap hari,  seraya berfirman kepadanya:  “Hampir-hampir para hamba-Ku yang soleh  akan mencampakkan berbagai  kesukaran dan penderitaan lalu kembali  kepadamu.”
 Yang  dimaksud dengan hadis ini adalah mereka mencampakkan beban  hidup di  dunia dan susah payah serta penderitaannya lalu mengerjakan  amal-amal  soleh yang dengannya mereka hidup bahagia di dunia dan  akhirat dan dapat  memasukkan mereka ke syurga, negeri kedamaian dan  kemuliaan.
 Dari  Abu Umamah, ia berkata, aku bertanya : "Wahai Rasulullah  tunjukkan  kepadaku suatu amal yang memasukkanku ke syurga". Nabi  bersabda  maksudnya : "Hendaknya engkau berpuasa, tiada yang  menyamainya." (Hadis  riwayat Nasai, ibnu Hibban, dan Hakim dan sanadnya  sahih)
 Dalam  riwayat yang lain dari Sahl dari Nabi SAW bersabda maksudnya  :   "Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang bernama Ar  Rayyan,  orang-orang yang berpuasa akan masuk melaluinya pada hari  kiamat, dan  selain mereka tidak akan masuk melaluinya.
 Dikatakan : Dimanakah orang-orang yang berpuasa?
 Maka mereka pun berdiri. Dan selain mereka tidak akan memasukinya .
 Maka  jika orang-orang yang berpuasa sudah memasukinya ditutuplah  pintu itu  dan tidak seorangpun akan memasukinya, Dan barangsiapa yang  telah masuk  ia pasti minum dan barangsiapa yang minum ia tidak akan  kehausan  selamanya."
 (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
 Keempat : Syaitan-syaitan durjana dibelenggu, tidak dibiarkan lepas seperti pada bulan-bulan selain Ramadan,
 Ini  adalah salah satu bentuk pertolongan Allah SWT kepada para  hamba-Nya.  Musuh umat ini (iblis dan syaitan) diikat sehingga tidak  boleh  membisikkan dan menggoda anak Adam yang berpuasa untuk  terpengaruh  dengan usaha-usaha jahatnya supaya menjadi penghuni neraka  yang menyala-  nyala. Oleh sebab itu, dapat kita dapat saksikan bahawa  pada bulan ini  umat Islam mempunyai keinginan yang lebih tinggi untk  melakukan kebaikan  dan menahan diri dari keburukan dibandingkan pada  bulan-bulan lainnya.
 Satu  persoalan yang mungkin muncul bahawa apabila iblis dan  syaitan-syaitan  telah dirantai mengapa masih ada maksiat-maksiat  dilakukan?.
 Jawapannya  ialah maksiat itu bukannya semestinya daripada syaitan  sahaja tetapi  disebabkan setelah sebelas bulan mentaati kehendak dan  cita-cita syaitan  maka perlaku maksiat telah menjadi sebahagian  daripada tabiat dan  naluri mereka.
 Nabi SAW bersabda maksudnya : "Siapa yang  melakukan suatu dosa, maka  akan tumbuh di hatinya setitik hitam, kiranya  ia bertaubat akan  terkikislah titik hitam itu dari muka hatinya.  Jika  ia tidak  bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak sehingga  seluruh  muka hatinya menjadi hitam." (Riawayt Al-Imam Ibnu Majah).
 Hadis ini sesuai dengan firman Allah Subhanahu Wataala di dalam Al-Quran surah Al-Muthaffifiin, ayat 14 :-
 Maksudnya  : "Sebenarnya ayat-ayat kami tidak ada cacatnya bahkan  mata hati mereka  telah diselaputi kekotoran dosa dengan sebab perbuatan  kufur dan  maksiat yang mereka kerjakan."
 Dengan demkian hati-hati  mereka penuh diliputi kekaratan, apabila  terjadi begitu, hati-hati  seumpamanya ini secara semulajadi condong  kearah dosa-dosa.  
 Kita  sedia maklum bahawa walaupun iblis dan syaitan telah dirantai  tetapi  syaitan berbentuk jin kafir dan manusia tetap bebas di bulan  Ramadan dan  mereka inilah yang meneruskan kerja-kerja menggoda dan  membisikkan  kejahatan kepada manusia.
 Kelima : Mereka akan mendapat  ampunan di akhir  malam. Ada yang bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah itu  terjadi pada  malam Lailautl Qadar?” Baginda menjawab, “Bukan, namun  pelaku kebaikan  akan disempurnakan pahalanya seusai menyelesaikan  amalanya.”
 Allah mengampuni umat Nabi Muhammad SAW pada  setiap akhir malam  bulan Ramadan. Jika mereka melaksanakan apa yang  seharusnya dikerjakan  pada bulan yang mulia ini, berupa puasa dan solat,  maka Allah akan  memberikan karunia dengan menyempurnakan pahala mereka  ketika telah  selesai mengerjakan amal-amal mereka. Sesungguhnya orang  yang beramal  akan disempurnakan pahala amalnya setelah selesai  mengerjakannya. Allah  SWT memberikan karunia kepada para hamba-Nya.
 Sahabat yang dikasihi,
 Marilah  sama-sama kita menghayati dan menghidupkan bulan Ramadan  al-Mubarak  yang akan datang tidak berapa lama lagi dengan berpuasa  secara sempurna  iaitu  menjauhi perkara-perkara yang membatalkan puasa  dan pahala puasa,  bersolat yang wajib berjemaah dimasjid dan  mengerjakan solat-solat  sunat (solat terawih, tahajud, witir, taubat,  hajat, duha, tasbih dan  lain-lain).
 Banyakkan bersedekah dan menjamu untuk  mengadakan majlis berbuka  puasa, membaca al-Quran, beristighfar dan  menuntut ilmu. Jika kita  dapat mendisplinkan diri kita amalan-amalan  tersebut dengan ikhlas dan  istiqamah insya Allah di akhir Ramadan kita  akan dikurniakan oleh Allah  SWT sifat takwa dan dibebaskan-Nya daripada  seksaan api neraka.
Selamat menyempurnakan ibadah ramadan 1432 Hijrah. 

 
 
 
No comments:
Post a Comment