Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi  Allah Subhanahu wata'ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi  Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya.
Sejak  beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan Tarawih  pada malam-malam Ramadan telah tersebar dengan meluas sekali. Media  elektronik, cetak serta media massa lain turut memainkan peranan  menyebarkannya melalui akhbar, dairi Islam, TV, radio, risalah dan  lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha  menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat, terutamanya dalam  bulan yang diberkati itu. Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis  yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali .a. yang  sebahagian darinya adalah seperti berikut,
Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadilat sembahyang Tarawih pada bulan Ramadan antaranya:
Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadilat sembahyang Tarawih pada bulan Ramadan antaranya:
# Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).# Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.# Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.# Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.# Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.# Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.# Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh
Namun  begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanah  air mengenai kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya  tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab  induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya  tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat)  sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini  merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis  dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan  wujudnya hadis ini. Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang Tarawih  dan kedudukannya dalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam  tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam  mengerjakan amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya  tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama  ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang  dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama kita dahulu.
Rasulullah  S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan  pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya:  Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia  menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)
Hadis  ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat  Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi  S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal  ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib  dan tarhib).
Mulla  Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu’ah selepas membawakan lebih dari  seratus riwayat hadis mengenai pendustaan atas nama Nabi Muhammad s.a.w.  menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi:  Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang  mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini  maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka  bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia  termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam  pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad s.a.w. di antara hadis tentang  hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis  yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis  nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa  dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam? seterusnya dia  berkata: Ulama sudahpun sepakat mengenai haram berdusta atas nama  orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah  syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan  atas Allah juga. Firman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan  mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan  wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).
Di  dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin  untuk melakukan amalan Tarawih dalam bulan Ramadan seperti kita sering  dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang  sebenarnya hadis itu pun direka atas nama nabi Muhammad s.a.w. seperti  contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu  meninggalkan sembahyang Zuhur dosanya adalah seperti dia berzina dengan  ibunya sendiri. Jika dia meninggalkan sembahyang Asar dosanya adalah  seperti meruntuhkan Kaabah.
Adakah  tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang  menghidupkan malam Ramadan yang terdapat dalam kitab hadis shahih  contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan  dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan  dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)
Dan  adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan  sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang  bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan ke dalam neraka  saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak  mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)
Sebenarnya  bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadan tidak mesti dengan  adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh  dalam menghidupkan amalan Tarawih ini. Dan orang yang malas  bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun seksaannya,  namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.
Antara ciri-ciri hadis maudhu`(rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah
1.  Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang  terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad s.a.w. atau orang yang  berjuang bersama dengan nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau  mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun  setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai  kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan  seorang nabi.
2.  Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang  dilakukan sedangkan ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat  sebagaimana tersebut dalam Al-Qur’an dan hadis-hadis sahih.
3.  Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad  s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi seperti yang  terdapat dalam hadis-hadis sahih.
4.  Dalam sesetengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan  “Ya Ali” sedangkan ulama hadis sudah mengatakan bahawa hadis yang  dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang sahih. Yang  lainnya palsu.
Oleh  itu umat Islam sekalian, terutamanya pihak seperti institusi agama di  peringkat negeri dan pusat, sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti  ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan Ahlus  Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan dakyah  palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada  hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat  kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala  sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan  dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.
Sumber: Mufti Terengganu

 
 
 
No comments:
Post a Comment